• ibadah
  • ww_202302191601_0001 - Copy (2)
  • qq_202302191601_0001 - Copy (2)
  • photo_2023-02-23_11-11-11
  • photo_2023-02-23_11-11-10
  • photo_2023-02-23_11-11-10 (2)
1

[MUSTREAD] IBADAH SEHARI HILANG DOSA SETAHUN

Regular price
RM 20.70
Sale price
RM 20.70
Regular price
RM 23.00
Secure payments | SMOBookstores Online
Secure payments
Authentic products | SMOBookstores Online
Authentic products

Terbitan: MUSTREAD

Penulis: PROF. DR. ENGKU AHMAD ZAKI


Bila Hari Kemerdekaan Malaysia?
31 Ogos.

Bila Hari April fool?
1 April.

Bila Hari Guru?
16 Mei.

Memang mudah untuk kita menjawab soalan-soalan tersebut. Tetapi cuba tanya pula, "Bila Maulidur Rasul?", "Bila Nisfu Syaaban?" ataupun "Bila Nuzul al-Quran?". Nescaya tidak semudah itu kita boleh menjawabnya. Penekanan terhadap kalendar Masihi dan pengaruh budaya dalam kehidupan seharian kita kadangkala menyebabkan kita lupa tentang kepentingan tarikh-tarikh penting atau hari-hari kebesaran dalam sejarah Islam.

Itulah yang ingin ditonjolkan dalam buku ini. Kesemua 12 bulan dalam kalendar Islam dihuraikan satu persatu dari segi sejarahnya, kelebihannya dan juga amalan-amalan yang boleh kita lakukan dalam bulan tersebut agar kita sebagai umat Islam lebih mendekatkan diri kepada cara hidup yang berlandaskan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.


HIKMAH MAULIDUR RASUL


Sambutan hari Maulidur Rasul amat penting dalam kehidupan umat Islam dengan harapan dapat memantapkan lagi keyakinan mereka terhadap Rasulullah SAW di samping menebalkan lagi kecintaan kepada Baginda. Sesungguhnya Rasulullah SAW merupakan insan yang paling dicintai memandangkan Baginda adalah insan contoh atau manusia mithali dalam serba-serbinya dan dalam semua aspek kehidupan. Oleh sebab itulah, umat Islam diperintahkan Allah SWT agar meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah SAW dalam segala lapangan hidup selaras dengan firman Allah SWT,

"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu kepada diri Rasulullah itu contoh ikatan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."

(Surah al-Ahzab 33: ayat 21)


Bagi menyatakan kecintaan kepada Rasulullah SAW, tidak cukup sekadar dizahirkan dengan kata-kata pujian dan sambutan dengan  pelbagai acara. Malah ia akan menjadi lebih bermakna jika dizahirkan kecintaan itu dengan meneladani jejak langkah kehidupan Baginda. Sama ada sebagai seorang pemimpin, seorang panglima angkatan perang, seorang sahabat, seorang suami, seorang bapa, bahkan juga sebagai seorang manusia biasa. Pendek kata, Rasulullah SAW memiliki banyak dimensi dan sudut yang patut dicontohi oleh umat Islam sejagat.

Kehidupan Rasulullah SAW yang sarat dengan sifat-sifat peribadi yang mulia dalam kelakuannya, perangainya, tingkah lakunya dan setiap detik perjalanan hidupnya adalah seumpama mukjizat yang berjalan di atas muka bumi. Oleh sebab itulah peribadi Rasulullah SAW, sirahnya dan sunahnya tetap relevan kepada umat Islam dari dulu, kini dan selamanya. Justeru, kehidupan Rasulullah SAW menyediakan jawapan ampuh yang dihadapi oleh manusia moden dewasa ini.

Kehidupan Rasulullah SAW sendiri sebenarnya merupakan satu manifestasi menyeluruh daripada intipati al-Quran sebagaimana yang dijelaskan sendiri oleh isteri tercinta Aisyah RHA, apabila beliau ditanya tentang akhlak Baginda.

Lantas Aisyah RHA menjawab,

"Sesungguhnya akhlak Rasulullah SAW adalah akhlak al-Quran."

(Riwayat Muslim)


Secara ringkas, sememangnya kehidupan Rasulullah SAW adalah manifestasi keseluruhan al-Quran al-Karim dalam setiap ruang lingkup kehidupan seharian dari sudut ibadah, pergaulan dengan anggota keluarga dan masyarakat sekeliling, aktiviti sosial, politik dan sebagainya. Iqbal pernah cuba melukiskan kebesaran Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata:

Sungguh hati Muslim dipateri cinta Nabi
Dialah pangkal mulia
Sumber bangsa kita di dunia
Dia tidur di atas tikar kasar
Sedang umatnya menggoncang takhta Kisra
Inilah pemimpin bermalam-malam terjaga
Di Gua Hira ia bermalam
Sehingga tegak bangsa, hukum dan negara
Kala solat pelupuknya tergenang air mata
Di medan perang pedangnya bersimbah darah
Dibukakan pintu dunia dengan kunci agama
Duhai, belum pernah insan melahirkan
Putera semacam Baginda.