• jejak
  • jhg_202301181636_0001 - Copy
  • photo_2023-01-19_12-07-20
  • photo_2023-01-19_12-07-19
  • photo_2023-01-19_12-07-19 (2)
1
SALE

[BUKU FIXI] NOVEL FIKSI JEJAK - ROZLAN MOHD NOOR

Regular price
RM 17.91
Sale price
RM 17.91
Regular price
RM 19.90
Secure payments | SMOBookstores Online
Secure payments
Authentic products | SMOBookstores Online
Authentic products

Terbitan: BUKU FIXI

Penulis: ROZLAN MOHD NOOR


Namaku Abdul Wahid bin Abdullah. Nama ibuku seperti yang tercatat dalam surat beranak adalah Mastura binti Jusuh. Siapa Abdullah, aku tak tahu. Sejak lahir lagi aku sudah dicampakkan ke rumah anak yatim. Aku tiada identiti lain selain namaku dan nama ibu.

Aku tak tahu apa yang akan ku hadapi, tetapi ini misi jejak yang paling penting dalam hidupku. Siapa aku, siapa ibu bapaku dan kenapa aku dibuang.

Ini kisah aku. Dengar baik-baik.


PETIKAN BAB 21


Sebaik saja kedua peguam keluar, Si Pendek masuk dengan sengihan macam dubuk lapar. Sebaik duduk di kerusi Kamelia, dia membuat lawak bodoh. "Hui, panas bontot best."

Aku buat muka selamba. Malas nak layan.

"Mana cari kau cari peguam bergetah macam tu?" soalnya lagi. Melihat aku tidak melayan lawak bodohnya, dia menyambung, "Hari ni kau makan kat sini, tak payah nak menyusahkan aku bawak kau keluar masuk."

Sebentar kemudian, aku dengar pintu diketuk dan penghantar makanan masuk membawa tray. Menu hari ini adalah sebiji telur masak kurma atau lemak (takde beza pun sebenarnya), kubis goreng, nasi setimbun dan air kosong. Kesian Kumar, fikirku. Hari ni tak dapat pass nasi kat dia. Aku makan sambil diperhatikan Si Pendek yang sedang bercerita dongeng. Kononnya dia sudah tiga kali ditawarkan menjadi pegawai tetapi dia menolak. Alasannya, kalau sudah jadi pegawai, dia takkan jaga blok lagi, tak thrill. Dia jadi warden sebab nak jaga sel, jaga banduan, bukannya nak kerja di ofis. Di hati aku menyumpah. Orang pendek macam kau ni, dapat jadi warden patut bersyukur. Kalau tak jadi warden mungkin layak jadi security guard supermarket aje lah.

Aku makan beberapa suap sahaja nasi tetapi menghabiskan telur dan sayur. Sudahlah lauk rasa tawar, dengar temberang Si Pendek buat nafsu makan aku tertutup. Jadi untuk mengelak dari kena temberang lebih lama, aku minta untuk ke tandas. Sambil merungut, Si Pendek bangun dan mengisyaratkan kepada rakan setugasnya untuk masuk. Gari aku dibuka dari meja dan kedua-dua tangan aku digari semula. Dengan warden kiri dan kanan, aku diiringi ke tandas. 

Aku duduk di tandas selama yang boleh, sehinggalah Si Pendek melaung, "Hoi, berak batu ke?"

Aku buat tidak kisah. Siapa suruh kau minta jadi warden? Tugas warden kan untuk memastikan keselamatan aku? Jadi kau tunggu saja sampai aku siap.

"Hoi! Kau ingat kami takde kerja lain ke?" Si Pendek melaung dengan lebih kuat.

Aku tersenyum sendiri. Teringat aku pernah ditugaskan mengawal lokap di IPD. Salah satu dari tugas pengawal lokap adalah untuk mengiringi tahanan ke tandas. Selalunya pengawal akan merungut-rungut, "Korang ni tak ada keja lain ke? Kencing, berak, kencing, berak." Dan tahanan pula akan menjawab, "Nak buat macam mana, Tok? Dah tak boleh tahan lagi." Aku tahu, kadang-kadang dia orang minta ke tandas kerana dahaga, untuk minum air paip.

Selepas beberapa kali Si Pendek menjerit marah, aku keluar dan dibawa balik ke bilik temuramah. Selepas tangan aku digari semula ke meja, Pendek dan rakannya keluar meninggalkan aku sendirian. Aku ambil kesempatan bersendirian itu untuk melelapkan mata.

Bunyi pintu dibuka mengejutkan aku dari tidur-tidur ayam. Kamelia masuk diikuti oleh Halim yang sedang ketawa kecil.

"Wahid dah makan?" soal Kamelia lembut.

Aku mengangguk.

"Boleh kita mulakan?" soalnya sambil mengeluarkan perakam.

Aku mengangguk lagi.