• budi
  • hfc_202305171506_0001 - Copy
  • xcx_202305171506_0001 - Copy
  • Screenshot_2023-03-24_082512
  • Screenshot_2023-03-24_082559
  • Screenshot_2023-03-24_082534
  • Screenshot_2023-03-24_082620
  • Screenshot_2023-03-24_082649
1
SALE

[PTS] KARYA HAMKA: LEMBAGA BUDI

Regular price
RM 20.70
Sale price
RM 20.70
Regular price
RM 23.00
Secure payments | SMOBookstores Online
Secure payments
Authentic products | SMOBookstores Online
Authentic products

Terbitan: PTS

Penulis: HAMKA


"Peribahasa menyebutkan; Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa. Sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.

Lihatlah sejarah bangsa-bangsa yang sudah hilang, baik di Barat ataupun di Timur, sejak dari bangsa Yunani dan Romawi Tua, sampai kepada kaum muslimin yang mencapai puncak mercu kemuliaan. Bagaimana mereka menderita kejatuhan, keruntuhan dan kehancuran? Bukankah selepas budi mereka merosot jatuh?

Inilah Hukum Allah, sunnatullah yang tidak dapat diubah. Betapa pentingnya menegakkan budi. Dalam buku Lembaga Budi karya Buya Hamka ini, beliau menghuraikan dengan lengkap bagaimana beragama dan berbudi yang harus diketahui dan diamalkan oleh setiap manusia yang mendamba kebahagiaan, kejayaan dan kemuliaan sejati."


PENYAKIT BUDI

Dalam usaha mempertinggi budi pekerti itu, kita pun akan bertemu juga dengan penyakit budi. Bukan sahaja jasmani ini dapat ditimpa sakit, rohani pun dapat diserang penyakit budi. Ahli-ahli tasawuf menyebut budi yang Muhlikah iaitu yang membawa diri kita kepada kebinasaan, sehingga jiwa menjadi merana. Belum mati, belum bercerai nyawa dari badan, namun jiwa telah lebih dahulu mati. Meskipun nafasnya masih turun naik, namun hidupnya tidak bererti lagi, sebab kehormatannya sebagai manusia sudah jatuh. Maka turunlah martabatnya menjadi binatang, hidupnya hanya untuk makan dan minum, tidak mempunyai sejarah, tidak meninggalkan nama baik. Kerana dia jatuh dalam perjuangan, lantaran kejatuhan budinya. Inilah yang dinamakan ahli tasawuf Muhlikah.

Kemudian ahli tasawuf itu menyebut pula budi-budi baik yang dapat melepaskan iman daripada kesengsaraan jiwa, kerana berjuang di dalam hidupnya mencapai tingkat kemanusiaan yang lebih tinggi. Perangai-perangai baik ini mereka namakan Munfiyah.

Ahli-ahli Ilmu Akhlak Islam yang besar-besar pada zaman dahulu memperkatakan kenaikan budi atau keruntuhannya berpanjang lebar. Ibnu Maskawih adalah pembahas etika (budi) dari segi falsafah. Ibnu Arabi pun demikian pula. Ibnu Hazm, ahli falsafah Andalusia dan ahli fikah Mazhab Zahiri mempertemukan tinjauan budi di antara agama dan falsafah. Apatah lagi Ghazali yang memandang akhlak dari segi tasawuf.

Di sini juga kita sarikan beberapa pendapat dari ahli-ahli ilmu akhlak Islam untuk menjadi renungan.


Tinjauan Ibnu Maskawih

Seorang tabib (doktor) yang berpengalaman tidaklah langsung sahaja mengubati suatu penyakit sebelum diketahuinya sebab-sebab maka sampai penyakit itu menimpa si penderita. Setelah diketahuinya panas dan dinginnya, barulah dia memberikan ramuan ubat (resepi) yang bertujuan menepis serangan penyakit dan selanjutnya membalas serangan dengan serangan pula. Dimulai dengan penjagaan ubat-ubat yang lebih keras dan pahit. kadang-kadang kalau dipandangnya sangat perlu diadakannya pemotongan (operasi) ataupun "pantik."

Kerana jiwa manusia itu adalah kekuatan Ilahi yang bukan jasmani, tetapi berhubung erat dengan tubuh jasmani dengan satu hubungan rahsia Ilahi, yang tidak dapat ditinggalkan begitu sahaja kalau tidak dengan kehendak kententuan Ilahi. Maka wajiblah diketahui benar bahawa rohani selalu berkait dengan jasmani, sakit rohani sakitlah jasmani.