Terbitan: BUKU FIXI
Penulis: NADIA KHAN
"Apa main gabung-gabung nama macam ni? Kamu tahu tak, ini dikira zina nama! Haram buat macam ni!"
Ustazah Suhaila menempik di dalam kelas ketika ternampak Kina sedang khayal menulis namanya dan nama Nik berulang-ulang dalam pelbagai corak di atas kertas contengan - NIKINA, NIKINA, NIKINA ...
Kata orang cinta monyet takkan berkekalan. Tapi bagaimana kalau cinta monyet kita berjaya berevolusi menjadi cinta manusia?
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebaik saja aku park kereta kat luar medan selera yang aku tak tahu masih menempatkan gerai nasi goreng ayam kegemaran aku dan Nik dulu tu, aku tak terus keluar dari kereta. Sebaliknya aku duduk dan cuba kaji perasaan aku sendiri.
Kenapa aku tak rasa nervous? Persoalan ni bermain di minda aku sejak aku mula memandu tadi. Serius, tak nervous langsung. Tapi mungkin ni memang sifat aku dari dulu - kalau aku buat benda yang aku suka, tak kira la benda tu sebesar mana pun, aku takkan pernah rasa nervous. Berjumpa Nik sah-sah la benda yang aku suka buat.
Tapi patut ke aku rasa bersalah? Yes, itu satu lagi persoalan. Aku dan Nik dua-dua tahu apa yang terjadi lima tahun dulu - dan agak jelas siapa yang patut dipersalahkan. Tapi Nik tak nampak macam marah kat aku. Dan walaupun aku tahu yang Nik ada juga sifat pendendam dalam diri dia, tapi entah kenapa aku tak rasa yang Nik berdendam kat aku. Dan perjumpaan ni pun bukannya satu permainan di mana dia akan kenakan atau malukan aku. Nik is simply not like taht - he's got class.
Tapi pengalaman boleh mengeraskan hati seseorang kan? Mungkin juga lima tahun yang Nik lalui tanpa aku menjadikan lebih sinikal dan kurang diplomatik. But I don't think too highly of myself - aku tak rasa kehilangan aku dari hidup sesiapa, termasuk Nik, akan meninggalkan kesan yang begitu mendalam. Mama pun dengan mudahnya boleh buang aku dari hidup dia.
But this is Nik - Nik is different; he means more to me than anyone else in my life -
Belum sempat aku masakkan buah fikiran, tingkap kereta aku tiba-tiba diketuk dan aku terlompat sikit. Aku nampak Nik menyengih luar tingkap. Aku senyum sambil keluar.
"Baca ayat-ayat penenang ke?" usik Nik.
"Dah tenang dah pun," balas aku - dan secara refleks, memeluk Nik sebagai ganti berjabat tangan - seperti selalunya. Lepas aku dah buat, baru aku perasan yang tindakan aku tu mungkin terlalu mesra. Lagi-lagi bila aku boleh rasa yang di awal pelukan, badan Nik mengeras sedikit seolah-olah kekok. Tapi tak lama - Nik dengan mudahnya memeluk aku kembali.
"Lama ke tunggu?" tanya Nik usai meleraikan pelukan.
"Takdelah. Baru je pun."
"Ada lagi ke gerai ni, agak-agak?" tanya Nik lagi.
"Let's find out!"