Terbitan: CRESCENT
Penulis: HAITUN KAMARAZAMAN
Disebabkan suatu rahsia tentang dirinya terbongkar, Zamri terdesak untuk meraih keampunan daripada Hajah Raudah. “Kalau nak umi ampunkan kamu, ada syaratnya.” – HAJAH RAUDAH
Zamri akhirnya terpaksa akur untuk bernikah dengan seorang wanita bernama Zara, walau hatinya tidak pernah terbuka untuk insan bernama wanita.
Setelah bernikah, Zara tak pernah disentuh. Justeru itu, dia dapat merasakan keanehan pada sikap Zamri yang bagaikan tidak pernah memandangnya sebagaimana seorang suami memandang isterinya.
“Boleh tak awak tolong saya sekali? Saya merayu sangat-sangat. Anggap saja pertolongan ini sebagai membalas budi kerana saya tidak memohon cerai walaupun setelah tahu awak tak normal…” - ZARA
Namun hubungan mereka menjadi semakin sukar apabila Ricky yang berdendam, tidak mahu melepaskan Zamri.
“Aku akan viralkan gambar-gambar kau. Reputasi kau sebagai doktor akan tercalar.” - RICKY
Apakah kesudahan cerita mereka? Terlunaskah segala dendam? Atau adakah kesakitan yang dibawa sehingga ke hujung nyawa?
PETIKAN BAB 22
SEBAIK sahaja selesai solat subuh, Zamri terkocoh-kocoh bersiap-siap untuk kembali ke Temerloh. Zara membantu memakaikan suaminya tali leher. Zamri akan terus ke klinik. Sudah beberapa hari Zamri cuti. Mujur ada Doktor Halimahtun mahu menjadi doktor ganti sepanjang Zamri ke Cameron Highlands bersama Zara. Zara menghulurkan tangan menyalami suaminya.
"Hati-hati memandu Zam. Moga selamat sampai ke Temerloh."
"Insya-Allah."
"Saya gerak dulu. Awak jaga diri baik-baik ya?" Zamri mengucup kening Zara dengan lembut.
Zara senyum. Hatinya mulai tersentuh rasa bahagia. Dia tidak menyangka begitu cepat Tuhan mengabulkan doa-doanya. Peristiwa malam tadi kembali mengisi ingatan, membuat wajahnya merona merah. Malu.
"Kenapa muka awak merah?" Tanya Zamri.
"Tak ada apa-apa."
"Mustahil tak ada apa-apa. Awak fikirkan pasal malam tadi ya?" Zamri sengaja mengusik.
"Hmmmm..." Zara sudah tertunduk, enggan menatap wajah Zamri.
"Awak gembira?"
Zara angguk kemudian mengangkat wajahnya dan memulangkan pertanyaan.
"Awak?"
Zamri angguk, mengulum senyum dan berkata; "Alhamdulillah, syukur"
"Ya, Alhamdulillah." Jawab Zara lembut.
"Tolong hati-hati memandu, Zam." Pesan Zara sambil memerhati Zamri mengenakan stoking dan kasut.
"Okey. Assalamualaikum."
Zamri terus bergerak ke kereta. Enjin terdengar memecah sunyi, kemudian keretanya diundur keluar dari garaj. Dia melambai Zara sambil membunyikan hon. Zara memerhati kereta Zamri berlalu sehinnga hilang dari pandangan. Kemudian Zara masuk ke rumah dan bersiap-siap untuk ke pejabat.
Zamri memecut keretanya menuju ke destinasi. Jam di dashboard menunjukkan ke angka 7.45 pagi. Masih sempat untuk dia bersarapan.
Zamri menghala ke sebuah restoran di bandar Inderapura. Apabila pelayan datang mengambil pesanan, dia memesan sekeping roti telur dan segelas milo panas. Sementara menunggu makanannya tiba, kedengaran bunyi WhatsApp masuk.
Zamri membuka telefonnya, ada mesej daripada Zara. Zamri membukanya, lalu melihat sekeping gambar dihantar oleh isterinya. Tertulis di situ.
Sahabat halalku, moga dalam rahmat Allah selalu. Amin! - Zara
Tersenyum Zamri melihat gambar mereka berdua sewaktu di restoran dekat Kea Farm. Zamri membalas ringkas.
Amin! - Zamri
Roti telur dan milo panas yang dipesannya sudah tiba.