Terbitan: KARYA BESTARI
Penulis: DR. SAHRULAZMI SIDEK
SEKSAAN terhadap kaum yang ingkar menunjukkan sifat ADIL Allah SWT kepada setiap hamba. Sudah pasti perbuatan baik akan dibalas baik. Yang buruk, dibalas buruk.
Begitulah yang terjadi kepada 13 kaum yang telah dimusnahkan. Jejak tinggalan mereka suatu masa dahulu tidak pernah terhapus, malah sentiasa menjadi sebutan oleh tamadun manusia sehingga ke hari ini.
Angin kencang, ditenggelam lautan, ditelan bumi dan diterbalikkan bumi, merupakan antara azab yang turunkan buat mereka yang ingkar. Akhirnya, 13 kaum ini dighaibkan dari bumi dengan hanya sekelip mata.
13 Kaum yang telah dilenyapkan daripada muka bumi ini ialah:
1) Kaum Nabi Nuh
2) Kaum Hud
3) Kaum Nabi Soleh
4) Kaum Nabi Lut
5) Penduduk Madyan
6) Ashabul Aykah
7) Ashabul Rass
8) Ashabul Qaryah
9) Ashabul Sabtu
10) Ashabu Tubba’
11) Firaun
12) Qarun
13) Abrahah dan Tentera bergajah
Makna Rass
Rass bermaksud telaga lama, alamat, galian, mula berasa demam dan permulaan sesuatu. Kata kerja Rass membawa kepada tiga maksud iatu: Menggali (telaga); menanam, menimbus (mayat) dan memperdamai (Idris al-Marbawi: 235)
Siapakah Ashabul Rass?
Imam al-Qurtubi dalam tafsir al-Jami' li Ahkam al-Quran menyebut mengenai pandangan-pandangan tentang Ashabul Rass. Antaranya ialah:
- Ashabul Rass adalah Sahib Yaasin. Rekod daripada Ibn Abbas dan pandangan Muqatil mengatakan, beliau merupakan seorang lelaki yang mengajak kaumnya mengikut para rasul. Lalu kaumnya telah membunuh dan menimbusnya dalam telaga. Dikatakan juga, dia dicampakkan ke dalam telaga mereka.
- Pandangan al-Sadiyy pula, mereka adalah Ashab Sahib Yaasin iaitu penduduk Antakiah. Rass adalah sebuah perigi di Antakiah. Mereka membunuh Habib al-Najjar yakni seorang lelaki yang beriman kepad keluarga Yaasin lalu mereka disandarkan kepada perigi tersebut.
- Ali bin Abu Talib menyembut mereka adalah satu kaum yang menyembah sepohon pokok Sanawbar. Lalu nabi mereka berdakwah kepada mereka sehingga pokok tersebut menjadi kering. Namun akhirnya mereka membunuh nabi tersebut dan menimbuskannya ke dalam perigi. Selepas itu terdapat awan hitam menaungi mereka lalu membakar mereka yang kufur.
- Pandangan Ibn Abbas menyebut bahawa mereka adalah satu kaum di Azerbaijan yang telah membunuh nabi-nabi mereka. Lalu pokok-pokok menjadi kering dan akhirnya mereka mati akibat kehausan dan kelaparan.
- Menurut Wahab bin Munabbih pula mereka adalah penduduk yang menternak binatang ternakan. Di tempat mereka juga terdapat sebuah telaga sebagai sumber air. Mereka juga menyembah berhala-hala. Lalu Allah SWT mengutuskan Nabi Syuaib a.s kepada mereka, tetapi mereka tetp mendustai dan menyakiti baginda. Mereka terus dalam kekufuran dan menyembah berhala. Suatu hari tatkala mereka dalam rumah masing-masing, Allah SWT telah mengancurkan mereka bersama rumah-rumah yang didiami. Allah SWT menenggelamkan mereka sehingga semua akhirnya meninggal dunia.
- Menurut Qatadah pula Ashbul Rass adalah sebuah kampung di Falj, Yamamah. Ashabul Rass dan Ashabul Aykah adalah dua kaum yang Allah SWT utuskan Nabi Syuaib a.s kepada mereka. Kedua-dua mereka telah mendustai baginda, lalu Allah mengazab mereka dengan dua azab.
- Ikrimah bin Abu Jahal pula mengatakan mereka adalah satu kaum yang telah menanam seorang nabi mereka secara hidup-hidup dalam sebuah perigi.