Terbitan: KD NOVEL
Penulis: BUNGA AMANI
Sayang Anum, gadis kampung nelayan yang bercita-cita mengakhiri zaman bujangnya dengan seorang pemuda alim bernama Mikhail. Hajat dalam hati mahu dimiliki lelaki yang itu seusai tamat perekolahan. Namun impian hancur di tengah jalan tatkala dirinya disunting satu keluarga kaya-raya dari bandar. Tak mungkin Sayang Anum terima lelaki lain selain Mikhail. Demi Mikhail, Sayang Anum tekad terima tawaran Ikhyal untuk bernikah dengan lelaki itu dan mengetepikan rancangan sebenar ibu bapa mereka.
"Malam ni, kau cakap dekat ayah kita berdua yang kau tak nak nikah dengan Isfahan. Kalau ayah tanya kenapa? Kau cakap kau nak nikah dengan aku. Faham tak?" - IKHYAL
"Kenapa nak tolong saya?" - SAYANG ANUM
"Aku tak tolong kau. Tapi aku tak nak kau kacau hak aku." - IKHYAL
Ikhyal, lelaki muda yang sibuk dengan kerjaya. Tiada dalam fikirannya akan hal muda-mudi yang tidak memberi apa-apa keuntungan kepadanya. Sikap tamak akan harta dan kuasa membutakan akal dan hati. Demi sebuah harta, dia sanggup menggagalkan pernikahan adiknya sendiri. Baginya, selagi ada yang mahu merampas harta dan hak miliknya, dia tidak teragak-agak menghalang walau dengan cara paling kotor!
Tetapi bab hati tiada yang mampu menduga. Dalam benci dalam marah. Timbul juga rasa sayang dan mahu memiliki. Biar tidak punya rasa cinta, selagi wanita itu bergelar isterinya tiada yang boleh merampas wanita itu.
"Kalau abang Bangla security yang selamatkan saya tadi pun, saya peluk jugalah!" - SAYANG ANUM
"Sama ada kau suka atau tak, selagi kau bergelar isteri aku, aku takkan biar kau kena sentuh dengan lelaki lain. Aku bukan lelaki dayus!" - IKHYAL
Sanggupkah Ikhyal melepaskan impiannya demi cintanya terhadap Sayang Anum? Mampukah dia membuktikan bahawa dia benar-benar ikhlas tentang perasaannya terhadap Sayang Anum? Apakah tiada tangan yang akan mengganggu-gugat keharmonian rumah tangga mereka?
PETIKAN BAB 1
Ada sesuatu yang pelik dengan sikap ayah dan ibu. Sejak dua tiga hari ini, dia mula mengesan ada rencana yang ayah dan ibu sedang ikhtiarkan. Jelas sekali, kerana dia sering ternampak ayah dan ibu asyik berbincang sesuatu dengan adiknya. Namun tatkala dia mencelah, ayah dan ibu terus diam.
Ikhyal memandang keluar tingkap. Hujan mulai garang. Entah untuk kali ke berapa hujan turun pada hari ini? Dia tidak sempat mengira. Yang dia sedar, sejak dari pagi lagi cuaca asyik mendung dan dingin sahaja.
"Awak tak nak balik lagi ke?"
Dia pusing semula memandang si penanya.
"Tunggulah hujan berhenti. Malaslah nak drive dalam hujan lebat macam ni. Bukan boleh sampai awal pun," balasnya dalam suara malas-malas.
"Jomlah minum dulu kalau macam tu," ajak pula si gadis berambut panjang berikat kemas hingga naik di atas kepala.
Untuk beberapa saat, dia termenung sambil berfikir.
Kerja-kerjanya untuk hari itu siap semuanya. Tiada lagi yang perlu disemak atau dikaji. Niat hatinya mahu sahaja dia mengikut kehendak gadis itu. Namun dia meminta pula sedikit masa untuk penilaian terakhir.
"Tunggu saya di bawah! Saya nak check sales dulu."
"Hurm... okey. Saya tunggu kat bawah dulu ya. Bye!"
Usai gadis itu berlalu, dia mula mencapai tetikus dan mula merenung skrin komputer.
"Isy! Apalah nak jadi dengan sales hari ini? Semalam pun teruk. Hari ni pun sama aje. Huh!"