Terbitan: KD NOVEL
Penulis: ILMAR IMIA
Selepas suaminya meninggal dunia, Aulia tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi. Fokusnya yang utama adalah membesarkan Anas, satu-satunya anak dia dan Idham. Namun setelah tempoh idahnya berakhir, Izwan datang melamarnya. izwan ialah abang iparnya yakni abang kepada Idham. Walaupun sudah berkali-kali dia menolak, namun Izwan tetap menginginkannya.
"Ada apa abang nak jumpa Lia? Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi, kan?" - AULIA
"Kita masih boleh sambung balik hubungan kekeluargaan kita. Lia dah pertimbangkan cadangan abang hari tu?" - IZWAN
Melihatkan itu, Aulia terpaksa menggunakan rakan sekerjanya, Sufian, untuk mengelakkan diri daripada Izwan memandangkan ketika itu hanya Sufia yang dapat menolongnya.
"Terima kasih, Pian! Maaflah terpaksa gunakan awak." - AULIA
"Tak apa. Jalanlah dekat sikit. Barulah nampak macam kita ni betul-betul tengah bercinta" - SUFIAN
Hari demi hai berlalu, Izwan tetap datang mengganggu Aulia di pejabatnya. Lantaran rasa tidak senang dengan keadaan itu, Sufia yang sememangnya pernah menaruh hati pada Aulia telah melamar Aulia untuk menjadi isterinya.
"Kenapa tiba-tiba saja awak ajak saya kahwin pula?" - AULIA
"Awak tak sudi ke?" - SUFIAN
"Pian, kahwin ni bukan perkara main-main tau!" - AULIA
"Ya, dan saya pun tak main-main. Saya serius nak kahwin dengan awak." - AULIA
Aulia terkedu. Dia tidak mahu Sufian berkahwin dengannya semata-mata kerana Izwan ataupun orang lain. Tambahan pula, dia sudah serik untuk berkahwin lagi lantaran mempunyai sejarah buruk dengan keluarga mentuanya. Dan yang lebih utama, dia ingin setia dengan arwah suaminya sehingga akhir hayatnya. Seperti Izwan, Sufian juga menerima nasib yang sama.
"Jawapan saya tetap sama macam yang pernah saya beritahu pada Izwan. Saya tak berminat" - AULIA
Namun, kedua-dua lelaki itu tidak mengalah. Berjayakah Izwan atau Sufian mencairkan hati Aulia yang keras itu?
PETIKAN BAB 1
"LIA!"
Aulia yang baru melepasi pintu keluar bangunan tempat kerjanya terhenti melangkah apabila mendengar namanya dipanggil. Wajahnya yang ceria tadi berubah riak tatkala melihat pemuda itu menghampirinya.
"Dee, kau balik dululah." Aulia berkata kepada rakan sekerjanya, Dayana, yang juga merangkap teman baiknya.
"Tak apa ke?" Dayana berasa ragu-ragu mahu meninggalkan Aulia bersama pemuda itu tetapi pada masa yang sama dia perlu pulang cepat.
"Tak apa, aku boleh uruskan," balas Aulia seakan-akan tahu perkara yang bermain dalam fikiran sahabatnya itu.
"Kalau ada apa-apa, kau telefon aku tau!" pesan Dayana sebelum melangkah pergi dalam terpaksa. Sempat di mengerling pemuda itu.
"Abang Wan buat apa kat sini?" soal Aulia dingin.
Dia malas mahu melayan Izwan yang idak faham bahasa itu.
"Abang nak jumpa Lia la," ujar Izwan tanpa segan silu seraya tersenyum lebar.
Namun, senyuman itu langsung tidak memberikan apa-apa kesan kepada Aulia. Sebaliknya, dia berasa menyampah pula.
"Ada apa abang nak jumpa Lia? Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi, kan?" Aulia mengingatkan Izwan. Hidupnya kini lebih tenteram tanpa Izwan dan keluarga mentuanya.
"Kita masih boleh sambung balik hubungan kekeluargaan kita. Lia dah pertimbangkan cadangan abang hari tu?" soal Izwan lembut. Sengaja mahu memancing hati Aulia.