Terbitan: THE BIBLIO PRESS
Penulis: PAULO FREIRE
Dalam buku ini, Paulo Freire telah menerangkan sebuah metodologi yang penting dalam usaha membebaskan minda rakyat yang tertawan oleh sistem yang bobrok. Buku ini penting untuk dibaca oleh para pendidik, pelajar dan masyarakat umum merentas zaman.
PETIKAN BAB 1
MESKIPUN MASALAH PEMANUSIAAN telah lama merupakan masalah utama manusia dari sudut pandangan aksiologi, tetapi kini ia telah mempunyai ciri keprihatinan yang tidak terelak. keprihatinan soal pemanusiaan sekali gus membawa kepada pengakuan terhadap penyahmanusiaan, bukan sahaja sebagai kemungkinan ontologi tetapi selaku realiti sejarah. Dan apabila manusia menanggap sejauh mana penyahmanusiaan, dia bertanya dirinya sama ada pemanusiaan adalah satu kemungkinan yang berdaya maju. Di dalam konteks sejarah yang konkrit dan objektif, pemanusiaan dan penyahmanusiaan adalah kemungkinan bagi manusia sebagai makhluk tidak sempurna yang insaf akan ketidaksempurnaannya.
Sedangkan pemanusiaan dan penyahmanusiaan merupakan alternatif nyata, namun pemanusiaan adalah tugas murni manusia. Tugas ini sentiasa diingkari dan ia diperkukuhkan dengan keingkarannya. Ia dihalang oleh ketidakadilan, eksploitasi, penindasan dan keganasan penindas; lantas diperkuatkan oleh laungan mereka yang tertindas demi kemerdekaan dan keadilan dan di dalam perjuangan mereka untuk mengembalikan kemanusiaan yang telah lenyap.
Penyahmanusiaan, yang merupakan bukan sahaja mereka yang dirampas kemanusiaannya, tetapi juga (dalam bentuk lain) mereka yang merampasnya, adalah penyimpangan tugas ke arah menjadi manusia sepenuhnya. Penyimpangan ini berlaku di dalam sejarah; tetapi ia bukanlah kerja sejarah. Nyata sekali, untuk mengakui penyahmanusiaan sebagai kerja sejarah adalah tanggapan salah yang boleh membawa kepada sinisme dan kekecewaan sama sekali atau secara keseluruhannya. Perjuangan untuk pemanusiaan bagi emansipasi buruh, bagi mengelakkan penyisihan dan bagi menegakkan manusia sebagai individu akan menjadi sia-sia. Perjuangan ini boleh berlaku hanya dengan adanya penyahmanusiaan, walaupun ia merupakan fakta sejarah yang konkrit, bukanlah suatu takdir tetapi adalah akibat daripada tatanan ketidakadilan yang menimbulkan kekelaman oleh pihak penindas, yang sebaliknya menidakmanusiakan mereka yang tertindas.
Akibat penyimpangan daripada menjadi manusia yang sempurna, lambat laun ia akan membuat manusia yang kurang sempurna dan menggerakkan mereka yang tertindas untuk berjuang menentang pihak yang menindas mereka.
Bagi perjuangan ini agar mempunyai pengertian, maka kaum tertindas tidak patut, sewaktu mengembalikan kemanusiaan mereka (yang merupakan satu cara menciptanya) menjadi penindas kepada bekas penindas mereka, sebaliknya mereka mestilah mengembalikan kemanusiaan kedua-dua pihak sekali gus.
Ini merupakan tugas kemanusiaan dan sejarah yang besar bagi kaum tertindas: membebaskan diri mereka dan juga penindas mereka. Penindas, yang menindas, mengeksploitasi dan memperkosa hasil kuasa yang dimilikinya, tidak dapat menemui kekuatan daripada kuasa tersebut untuk memerdekakan kaum tertindas atau diri mereka sendiri. Cuma kuasa yang lahir daripada kelemahan kaum tertindas mempunyai daya tahan untuk memerdekakan kedua-dua kumpulan tersebut. Sebarang percubaan untuk "melemahkan" kuasa si penindas demi menghormati kelemahan kaum tertindas selalunya dimanifestasikan di dalam bentuk kebaikan yang palsu; dan percubaannya tidak pernah melampaui tahap ini. Demi menjamin peluang-peluang menyatakan "kebaikan" secara berterusan, penindas mestilah menimbulkan ketidakadilan juga. Susunan sosial yang tidak adil merupakan sumber tetap kepada "kebaikan" tersebut, yang diperkukuhkan oleh kematian, kekecewaan dan kemiskinan. Inilah sebabnya kenapa pemberi kebaikan palsu ini menjadi nekad apabila terdapat sebarang ugutan ke atas sumber kuasa mereka.