• dendam
  • jki_202211091548_0001
  • photo_2022-11-13_09-38-11
  • nbv_202211091549_0001
1
SALE

[PATRIOT PUBLICATION] DENDAM BAKAR - DANIAL ZUHER

Regular price
RM 25.20
Sale price
RM 25.20
Regular price
RM 28.00
Secure payments | SMOBookstores Online
Secure payments
Authentic products | SMOBookstores Online
Authentic products

Terbitan: PATRIOT PUBLICATION

Penulis: DANIAL ZUHER


Inspektor Abu Bakar atau Bakar. Seorang anggota polis yang digeruni di Kuala Lumpur. Kehidupan Bakar pada awalnya sempurna. Namun segala-galanya berubah selepas tragedi berdarah yang meragut nyawa isterinya, Sarah.

Dendam, hatinya terbakar. Itu yang Bakar rasakan. Jadi, Bakar tekad untuk memburu mereka yang telah membunuh isterinya. Seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan menawarkan bantuan kepada Bakar. Bakar menerima bantuan itu.

Apabila Bakar sudah tekad, Kuala Lumpur bakal terbakar. Masa bergerak perlahan di mata Bakar. Dia akan menumpaskan orang yang bertanggungjawab merampas orang yang paling dia sayang.

Berjayakah Bakar membalas dendam? Siapakah pembunuh sebenar isteri Bakar? Apakah nasib Kuala Lumpur selepas itu?


PETIKAN BAB 1


KEHIDUPAN  aku sangat indah, indah seperti syurga dunia. Bantal dan katil yang lembut lagi empuk membuatkan aku susah untuk bangun daripada tidur. Tetapi, jam digital yang berbunyi, disusuli dengan cahaya matahari yang menyinar tepat ke arah muka, memberikan aku satu sinar tenaga dan harapan untuk bangkit. Aku perlu bangun untuk bekerja demi diriku dan keluargaku.

Aku menghirup udara yang segar di luar balkoni rumahku. Indahnya ciptaan Yang Maha Kuasa. Tanpa udara yang segar lagi sejuk ini, kita mungkin tidak akan dapat hidup. Aku menyiapkan diriku dengan membersihkan diri di bilik mandi. Kemudian, aku kembali ke bilik tidurku dan membuka almari pakaian.

Hari ini, aku memakai baju kemeja putih, tali leher warna hitam, kot berwarna hitam dan seluar slack hitam. Aku menyikat rambut dengan kemas seperti rambut ejen Fox Mulder daripada cerita The X-Files. Akhir sekalim aku memakai cermin mata berbentuk empat segi tepat. Aku rabun jauh.

Aku mengambil kunci kereta dan kunci rumah yang di atas meja berdekatan dengan pintu keluar. Aku keluar dan mengunci pintu rumah banglo untuk memastikan keselamatan rumah. Aku pergi ke tempat kerjaku dengan menaiki kereta Honda Civic. 

Aku memandu melepasi setiap rumah jiran-jiranku yang peramah lagi pemurah. Anak-anak kecik bermain bola di padang dan pelajar menaiki basikal ke sekolah. Warga emas duduk di atas kerusi kayu, memrhatikan persekitaran indah pada waktu pagi. Sungguh sejuk. Aku meninggalkan kawasan perumahan di Damansara dan bergerak ke ibu kota Kuala Lumpur.

Nama aku Abu Bakar bin Razak, atau boleh saja panggil aku Inspektor Bakar. Aku berumur 40 tahun dan merupakan satu-satunya cahaya mata lelaki kepada Razak dan Sarimah. Ayah aku seorang bekas anggota polis berpangkat inspektor di balai polis cawangan Ipoh. Tetapi Tuhan lebih sayangkan dia. Ayahku meninggal semasa aku masih berumur 18 tahun setelah mati ditembak oleh kumpulan gengster Golden Chang semasa bertugas.

Selepas kematian ayahku, aku bertekad untuk mengikut jejak langkahnya dan menjadi seorang anggota polis. Dengan harapan supaya aku dapat meruntuhkan organisasi gengster Golden Chang. Semasa di akademi polis, aku belajar banyak benda baru berkaitan dengan kemahiran polis.

Aku tak pernah melupakan tugas aku sebagai anak dan menjaga ibuku. Semenjak ayah meninggal, ibuku agak muram dan tidak banyak bercakap seperti dulu. Dia hanya termenung di dalam bilik dan meratapi gambar-gambar lama ayah. Aku cuba memberikan semangat kepada ibu agar dia boleh melupakan peristiwa hitam itu. Rumah juga menjadi muram dan suram selepas ketiadaan ayahku. Tidak ceria seperti dulu.

Selepas tamat belajar di akademi polis, aku terus ditugaskan di balai polis yang sama, tempat ayah aku bertugas dulu. Aku bekerjasama dengan kawan baik arwah ayahku untuk membanteras kumpulan gengster Golden Chang.

Kami mengambil masa selama empat tahun untuk memburu konco-konco Golden Chang sampai ke lubang cacing. Selepas kematian Chang, organisasi Golden Chang terus musnah. Setelah itu, aku terus aktif membanteras jenayah-jenayah lain seperti sindiket pengedaran dadah, rompakan bersenjata dan banyak lagi.

Aku dianugerahkan banyak pingat kebanggaan sepanjang aku menjadi polis. kadang-kadang aku menangis kerana sewaktu kecil, aku selalu berada di sisi ayah semasa dia mengambil pingat kebanggaannya.

Selepas beberapa tahun, aku dinaikkan pangkat dan menjadi inspektor. Kemudian, aku dikejutkan dengan berita kematian ibuku. Ibuku meninggal kerana sakit jantung dan ditanam bersebelahan dengan kubur ayahku. Ironinya, hujan turun dengan amat lebat semasa pengebumian ibuku, sama seperti ayahku dulu.