• FREE POSTAGE For Order Over RM50 I Free BOOKMARK for orders over RM30 Shop Now!
icon-search
icon-search
  • biar sembuh
  • mlk_202211220931_0001 - Copy
  • photo_2022-11-27_11-22-50
  • vbhc_202211220932_0001 - Copy
SALE

[IMAN PUBLICATION] BIAR SEMBUH LUKA SEMALAM

RM 22.50
- +
code
icon-bag Add to Cart Whatsapp order
Home

Terbitan: IMAN PUBLICATION

Penulis: AIDIL GHAZALI


"Setiap orang ada sebab dan alasan masing-masing. Seteruk mana pun kesalahan yang dibuat, semua orang berhak diberi peluang kedua."

Satu keputusan yang dibuat oleh Nita mengakibatkan ayahnya lumpuh seumur hidup. Sejak itu, Nita enggan memutuskan apa-apa. Urusan bisnes Bakeri Jalan Tiung bulat-bulat diserahkan kepada pembantu, walaupun dialah pemilik bakeri. Sekecil-kecil urusan pun membuatkan Nita teragak-agak. 

Nita, gadis lincah dan pemberani langsung berubah penakut.

Tanpa sedar, sikapnya mengundang satu per satu masalah. Bakeri merugi. Pekerja pula membuat onar. Lebih membingungkan apabila sebuah bakeri baharu yang gah muncul sebagai pesaing.

Ketika semakin buntu, Haris, seorang cef pastri dari Perancis cuba menawarkan bantuan. Kemunculannya memberi sinar harapan kepada Bakeri Jalan Tiung. Namun tidak pada Nita, kerana kepulangan Haris hanya menoreh luka lama.

Semakin dia cuba menghindar, semakin itulah dia harus memutuskan. Sehinggalah dia tersedar bahawa kesilapan bukan untuk ditakuti, tetapi didepani dengan berani. 


PETIKAN BAB 5 

TAK BISA MEMILIH


NITA menjenguk langit. Semakin mendung. Nasib baik dia keluar rumah lebih awal. Kalau terlambat lima minit tentu basah kuyup. Ada gerimis yang gugur di baju. Angin bertiup semakin kuat dan menerbangkan debu kering di jalan. Udara juga terasa lembap. Mungkin hujan lebat akan turun. Baguslah. Minggu ini cuaca dirasakan terlalu berbahang. Tentu lebih baik jika tanah disiram hujan.

Basikal merah kesayangannya disandarkan ke dinding. Tangan pula mengibas titisan air di bahu.

Dia berhenti, cuba memasang telinga.

Ada keriuhan dari dalam bakeri. Suara lantang Suriani bergema jelas. Anehnya tidak kedengaran seperti biasa.

Nita hairan. Apa yang mereka sedang bising sampai ke luar? Ada sesuatukah yang berlaku di dalam bakeri?

Langkahnya disegerakan. Masuk ke dalam, dia melihat tiga orang staf bakeri Roti Jalan Tiung sedang berkumpul di dapur. Suara Suriani kuat mengherdik, seperti menengking seseorang.

"Kenapa Kak Cuni? Pagi-pagi lagi dah marah-marah begini?" tanya Nita kerana tidak tahu hujung pangkal.

Suriani langsung tidak memandang. Bibirnya digetap menahan geram. 

"Apa yang tak kena?" Nita mengulang soalan.

"Tengok apa yang pekerja kesayangan awak ni dah buat?" Suriani menjegil ke arah Shafie.

"Apa yang kecoh sangat ni? Saya dah minta maaf, kan?" Shafie tidak mahu mengalah.

"Minggu ni dah berapa kali awak buat silap? Hari-hari ada saja yang salah. Dua hari lepas doh dibiarkan terlebih kembang. Hah, semalam lagi berapa dulang yang hangus sebab awak terlupa nak pasang pemasa. Hari ni pula awak timbang doh tak pakai penimbang digital. Ikut suka hati awak sampai saiz roti pun besar kecil, tak seragam."

"Betul, Shafie?" Nita menuntut kepastian. Shafie hanya angkat bahu. Tanpa mengaku atau juga menafikan. Tanda-tanda orang yang sudah berbuat salah.

"Sampai bila nak buat silap?"

Shafie menciut. Satu perkara yang buat kemarahan Suriani semakin meluap.

"Bekerja dah lama tapi tak ada kualiti. Nak kena ketuk, baru nak jalan. Selagi tak ditegur... hah, selagi itulah duduk di belakang sana main telefon." Suriani belum puas menjerkah.

Nita diam di tepi, menunggu masa sesuai. Sedar yang di tidak boleh tersilap mencelah. Jika tersalah cakap bimbang akan jadi minyak yang mencurah ke api.

Your cart is currently empty.
Continue shopping