• aminah
  • hg_202212260904_0001 - Copy
  • photo_2022-12-26_14-13-57
  • photo_2022-12-26_14-13-57 (2)
  • nn_202212260905_0001 - Copy
1
SALE

[LATIP & KELUARGA] AMINAH BONDA RASULLULLAH

Regular price
RM 27.00
Sale price
RM 27.00
Regular price
RM 30.00
Secure payments | SMOBookstores Online
Secure payments
Authentic products | SMOBookstores Online
Authentic products

Terbitan: LATIP & KELUARGA

Penulis: ABDUL LATIP TALIB


Aminah binti Wahab merupakan wanita Quraisy terbaik dari segi keturunan dan kedudukannya pada waktu tersebut. Bapa beliau bernama Wahab bin Abdul Manaf. Manakala ibu beliau  bernama Barah binti Abdul Uza.

Aminah dilahirkan di Mekah, berketurunan Bani Zuhrah, salah satu suku dalam kaum Arab Quraisy, iaitu keturunan daripada Nabi Ibrahim a.s melalui anak baginda Nabi Ismail a.s.

Aminah berkahwin dengan Abdullah bin Abdul Muttalib ketika berusia 17 tahun. Sesungguhnya Aminah binti Wahab bukan wanita boasa. Dari rahim "Si Bunga Quraisy" ini, Nabi Muhammad SAW dilahirkan.

Menjelang kematiannya, Aminah berkata:

"Setiap yang hidup pasti mati, dan setiap yang baru pasti usang. Setiap orang yang tua akan binasa. Aku pun akan wafat tetapi sebutanku akan kekal. Aku telah meninggalkan kebaikan dan melahirkan seorang bayi yang suci."

Ini kisah Aminah binti Wahab. Semoga Allah memberkati wanita unggul ini.


BAB 6 RAJA SEHARI


Bagaikan pesta, jamuan makan yang diadakan adalah sebuah kenduri besar yang menceriakan semua tetamu yang datang, tidak kira pangkat atau usia. Para hamba turut diraikan dan dapat menikmati jamuan besar-besaran itu.

"Syukran!"

"Syukran!"

Mereka mengucapkan syukur atas rezeki penebusan nazar yang dikongsi oleh pemimpin Mekah yang budiman. Kenduri besar ini menggembirakan bukan sahaja warga Mekah dan fakir miskinnya, tetapi juga orang luar yang sanggup datang memperebutkan bahagian daging-daging unta yang diagihkan. Bersama pisau penyiat daging dan dibahagikan ke dalam banyak bekas, bukan untuk tuan rumah tetapi untuk mereka yang memerlukan dan menghajatkannya.

"Beri saya bahagian lehernya."

"Saya mahu ekor saja."

"Saya mahu bahagian pahanya!"

Dan bungkusan daging pun beralih tangan dengan seikhlas hati. Langit hari itu begitu baik hati dengan cuaca yang sedang-sedang sahaja. Suria tidak garang memancarkan cahaya bahangnya. Angin turut bertiup perlahan bagaikan turut merestui kebajikan dan kedermawanan yang sedang berlangsung.

Wajah Abdul Muttalib begitu berseri-seri. Dia nampak begitu lega dan gembira kerana anak kesayangannya tidak jadi disembelih oleh tangannya sendiri.

Maka, cahaya yang ada pada anak bongsunya itu tidak akan lenyap begitu sahaja. Sudah beberapa kali dia memeluk anaknya. Malah lantaran rasa syukurnya, dia cukup bahagia melihat jemputannya bergembira menikmati jamuan yang mereka bergotong-royong memasaknya bersama.

Abdul Muttalib memandang wajah anaknya yang begitu menyejukkan hati. Sekali lagi dia memeluk Abdullah dengan rasa penuh terharu. Terasa sekali lagi Tuhan telah menyelamatkan seorang lelaki daripada sembelihan oleh tangan seorang ayah. Jika sebelum ini berlaku kepada Nabi Ismail a.s, kini berlaku pula kepada anaknya.

Kalaulah dia dapat kembali ke zaman dahulu dan tidak bernazar sedemikian, pasti dia tidak melalui satu jangka masa yang amat mendebarkan.

Tetapi begitulah, nazarnya adalah qadak tetapi doa dan harapan mengubah qadak menjadi qadar. Barangkali itu perjalanan yang perlu ditempuhinya yang sudah tercatat di lohmahfuz.

"Terima kasih, ayah," ucap Abdullah yang menitiskan air mata tanda syukur yang tidak terhingga.

"Demikianlah takdir, anakku. Sungguh Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang," kata Abdul Muttalib.

Keesokan harinya, pada saat hati pemimpin kota Mekah ini benar-benar lega dan lapang, dengan lembut, dia mencapai tangan Abdullah dan memimpinnya ke luar dari muka pintu rumah.

"Kita mahu ke mana, ayah?" tanya Abdullah penuh hemah.

"Meminang Aminah untuk kamu," kata si ayah.

Maka wajah Abdullah yang putih bersih itu terus naik kemerahan bersama cahayanya yang cerlang. Tidak dapat digambarkan betapa gembira hatinya. Seolah-olah tahu isi hatinya, betapa dia menyintai Aminah.