• Free MEMOPAD 2022 for orders over RM30 Shop Now!
icon-search
icon-search
  • johor
  • lomn_202211150935_0001
  • photo_2022-11-21_16-07-29
  • kmn_202211150935_0001

[PATRIOT PUBLICATION] TASJIL ANIS SALATIN: RAHSIA AGUNG JOHOR

RM 28.05
- +
code
icon-bag Add to Cart Whatsapp order
Home

Terbitan: PATRIOT PUBLICATION

Penulis: FARAHANA SHUHAIMI & TUAN MUDA SELAT


Sebuah penulisan kesinambungan sejarah bangsa Melayu dari Melaka hingga ke sejarah bangsa Melayu di Johor. Buku ini menjawab tanda tanya bangsa Melayu hari ini apakah bangsanya tidak berbuat apa-apa setelah kejatuhan kota melaka. Bangsa Melayu telah berjaya mencuci arang yang dicoreng di muka nenek moyang mereka apabila berjaya mengusir Portugis dari kota Melaka.

Hasil daripada strategi "membunuh dengan pisau pinjaman" Johor berjaya menggunakan meriam dan kapal Belanda yang sebelumnya mengalami kekalahan berturut-turut kepada Portugis. Tentera kesultanan Johor dengan lengan terkulai memanjat tembok kota dan mengamuk menghapuskan tentera Portugis yang masih bertahan. Seterusnya, mereka berjaya membalas dendam semula ke atas kejatuhan Melaka puluhan tahun yang lalu dan dendam bangsa Melayu terbalas.

Kisah yang diceritakan hanya seperca daripada sejarah keagungan Johor, yang merupakan pewaris keagungan Melaka. Lebih banyak lagi helaian-helaian sejarah agung menunggu masa untuk dibaca oleh anak bangsa dalam Tasjil Anis Salatin: Rahsia Agung Johor.


Sultan Muzaffar Syah (1564 - 1579)


Biodata


Sultan Muzaffar adalah anak kepada Sultan Alauddin I Johor dengan Puteri Kesuma Dewi yang merupakan anak Sultan Mansur Pahang. Baginda mempunyai saudara kandung bernama Raja Fatimah. Baginda adalah Sultan Johor kedua dan merupakan anggota keluarga diraja Melaka, Pahang dan juga Johor. Semasa kecil, baginda dibesarkan di Pekan Tua yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Johor yang diasaskan oleh bapanya, Sultan Alauddin I Johor.

Sepanjang hidupnya, baginda melalui pelbagai pengalaman hidup yang penuh cabaran. Kerajaan Johor yang baharu ditubuhkan pada masa itu masih lagi menerima ancaman serangan Portugis yang berterusan. Semasa usia kanak-kanak dan remaja, baginda menjadi saksi kemusnahan pusat pentadbiran kerajaan Johor di Pekan Tua akibat serangan Portugis. Baginda dibawa berundur bersama anggota keluarga diraja Johor yang lain ke Sayong. Kedudukan Sayong yang terletak jauh di pedalaman mempunyai laluan air sungai yang agak kecil dan ini memberikan kelebihan pertahanan yang semula jadi. Pasukan Portugis tidak berani mengekori pasukan tentera Johor yang berundur ke Sayong kerana mereka sedar akan terperangkap dan diserang dari dua belah tebing sungai yang sempit. Jika meneruskan mengejar pasukan tentera Johor, tentu keputusan peperangan akan sebaliknya pasukan Portugis akan dimusnahkan sepenuhnya. Kemudian, baginda dibesarkan di Sayong yang kemudiannya dijadikan sebagai pusat pentadbiran kedua Johor.

Sultan Muzaffar Syah Johor adalah antara saksi peristiwa penting bagaimana bangsa Melayu dan Portugis akhirnya menandatangani perjanjian damai dan menghentikan operasi ketenteraan antara satu sama lain yang telah berlangsung selama 25 tahun. Baginda melihat sendiri bagaimana akhirnya perjuangan datuknya Sultan Mahmud Syah Melaka yang tegar dengan aktivit ketenteraan kini memasuki fasa perjuangan secara diplomasi yang dicetuskan oleh bapanya, Sultan Alauddin I Johor. Walaupun Johor dan Portugis tidak lagi secara rasmi menjalankan aktiviti ketenteraan terbuka, tetapi mereka masing-masing memulihkan kekuatan dan menjalankan aktiviti sabotaj di perairan Selat Melaka demi kepentingan kedua-dua belah pihak.

Selain perjanjian damai,Sultan Muzaffar Syah juga melihat sendiri bagaimana bermulanya permusuhan antara Johor dengan Aceh. Tindakan Aceh menduduki Aru dan mengusir ratunya adalah satu perbuatan menceroboh wilayah Johor di bahagian Utara Pulau Sumatera. Tentera Johor berjaya mencapai kejayaan gemilang dengan menumpaskan pasukan tentera Aceh yang besar dan terdiri daripada pelbagai tentera asing dari luar negara. Namun, kejayaan ini diikuti kegagalan operasi ketenteraan Johor ke atas Portugid di Melaka. Setelah mengepung kota Melaka dan menduduki kawasan sekitarnya termasuk pelabuhan, akhirnya pasukan Johor terpaksa diundurkan. Sejak itu kerajaan Johor mengambil masa yang panjang untuk memulihkan kekuatan tentera dan juga ekonominya.

Your cart is currently empty.
Continue shopping